SENYUMAN lebar terukir di wajah Elfie (bukan nama sebenar) ketika beliau menantikan ketibaan mak ciknya di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).

Elfie, 14 tahun, merupakan antara 38 belia di bawah jagaan RKM yang diberi peluang pulang ke rumah keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri.

Setiap tahun, penghuni RKM boleh keluar buat sementara waktu untuk menyambut perayaan bersama keluarga mereka.

Ini adalah pertama kali Elfie akan menyambut Hari Raya bersama mak ciknya selepas tidak berhubung dengannya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya bersyukur dapat meraikan Hari Raya bersama mak cik saya dan ahli keluarga lain tahun ini. Saya tidak sabar untuk merapatkan hubungan dengan mereka,” kata Elfie.

Beliau juga berkata mak ciknya adalah salah satu ahli keluarga yang melayaninya dengan baik.

“Saya dimasukkan di dalam RKM kerana ibu bapa kandung dan ibu bapa angkat saya mendera saya ketika saya masih kecil.

“Saya bukan sahaja mengalami penderaan emosi tetapi fizikal juga.

“Kemudian pada satu hari, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mendapat tahu tentang situasi saya dan meletakkan saya di dalam Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk seketika,” tambahnya.

Elfie turut berkongsi bahawa ibunya telah meninggal dunia ketika beliau berumur 11 tahun.

Selepas pemergian ibunya, beliau diletakkan di bawah jagaan dua ibu bapa angkat yang berbeza selama setahun masing-masing.

Beliau kemudian dihantarkan ke rumah kanak-kanak Grace Haven sebelum akhirnya diletak bawah jagaan RKM pada 20 Julai 2021.

Kepahitan hidup yang dialaminya pada masa kanak-kanak telah membuatnya bertekad untuk menolong belia lain apabila dewasa kelak.

“Saya ingin bekerja sebagai seorang pekerja sosial pada masa depan. Saya ingin menolong kanak-kanak dan belia lain yang mengalami kepahitan seperti saya dahulu.

“Oleh itu saya memutuskan untuk mempelajari kursus kerja sosial di politeknik selepas tamat pengajian di sekolah menengah,” ujar pelajar menengah tiga itu.

Setiap penghuni RKM membawa pulang habuan merangkumi baju kurung, capal, songkok, samping, duit Raya, baucar runcit dan kuih Raya – hasil sumbangan masyarakat.

Tambahan, RKM juga menghantar hidangan makanan ke rumah penghuni pada malam Hari Raya untuk mereka berjuadah bersama keluarga.

Bagi penghuni yang tidak dapat pulang ke rumah, RKM telah menyediakan kegiatan seperti bermain bunga api, menganyam ketupat dan bersolat bersama pada pagi Hari Raya.

Elfie dan penghuni lain akan kembali ke RKM pada Selasa.

“Saya bersyukur dapat meraikan Hari Raya bersama mak cik saya dan ahli keluarga lain tahun ini. Saya tidak sabar untuk merapatkan hubungan dengan mereka.”

  • Elfie (bukan nama sebenar), penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).