Hampir S$50,000 berjaya dikumpulkan menerusi pertandingan futsal amal anjuran Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pada Sabtu (11 Mac).

SINGAPURA: Hampir S$50,000 berjaya dikumpulkan menerusi pertandingan futsal amal anjuran Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pada Sabtu (11 Mac).

Jumlah itu sekali gus yang tertinggi pernah dicatatkan RKM melalui inisiatif sebegitu, sejak ia pertama kali diadakan pada 2007.

Ia juga menjangkaui jumlah lebih S$40,000 yang dikumpulkan pada 2019 – iaitu kali terakhir acara tersebut diadakan sebelum dihentikan untuk tiga tahun akibat pandemik COVID-19.

Acara yang diadakan di padang futsal The Arena itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi menampung kos pembangunan diri dan kegiatan para penghuni RKM.

“Melalui dana yang kita dapatkan pada hari ini, ia akan memberikan manfaat kepada anak-anak RKM melalui program-program yang berbentuk pembangunan, yang berbentuk rekreasi yang diperlukan untuk pembangunan diri mereka. Dan kami sangat-sangat berterima kasih kepada semua yang memberi sumbangan pada RKM khususnya untuk acara hari ini,” kata Pengerusi RKM, Ustaz Muhammad Azri Azman.

ERATKAN SILATULRAHIM DENGAN MASYARAKAT

Acara tahun ini menampilkan 22 pasukan yang terbahagi kepada tiga kategori – bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan korporat.

Seramai 24 penghuni RKM berusia di antara 8 hingga 21 tahun mengambil bahagian dalam acara tahun ini.

Persediaan seperti itulah yang dimanfaatkan bekas penghuni RKM, ‘Iman’ (bukan nama sebenar) yang pernah melalui keganasan dalam keluarga.

Sepanjang di RKM, beliau banyak mengisi masanya dengan kegiatan yang membantu membina semula keyakinan dirinya.

“Aktiviti melukis dan bersukan membantu mengawal emosi saya semasa saya tinggal di RKM,” kata ‘Iman’, anak bongsu daripada tiga beradik.

Meskipun sudah kembali ke pangkuan keluarga pada Disember 2022, RKM masih dekat dengan hati belia yang kini berusia 19 tahun itu.

“Pada hari ini, saya kembali sebagai sukarelawan untuk berbakti semula kepada RKM yang telah menjadi tempat tinggal saya selama 9 tahun,” ujar ‘Iman’, yang kini sedang menanti untuk memasuki Perkhidmatan Negara tahun ini.

Beliau yang kini sedang bekerja sambilan di Pusat Penjagaan Kanak-kanak PPIS bercita-cita untuk menjadi anggota paramedik, suatu hari nanti.

Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman juga turun padang bagi melancarkan pertandingan, di samping memberi kata-kata semangat.

Beliau yang juga sempat mempamerkan kehandalannya bermain bola berasa amat teruja melihat keghairahan para penghuni dan memuji RKM dalam usaha mengeratkan jalinan.

Beliau berharap lebih banyak program di luar bilik darjah dapat diadakan bagi membantu membina keyakinan para penghuni.

“Ini satu inisiatif yang sangat bagus yang amat baik sekali kepada adik-adik kita di Muhammadiyah. Mereka pun dapat bertemu dengan rakan-rakan mereka yang lain. Dengan semangat kesukanan itu, saya lihat tadi oh betul rentap sekali permainan mereka,” kata Encik Fahmi, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade.

Di akhir acara, 10 pasukan dinobatkan sebagai pemenang:

Kategori bawah 14 tahun:
Pertama: Rising Ballers (Sekolah Menengah West Spring)
Kedua: Real Hustlers (Sekolah Menengah West Spring)
Ketiga: HS Warriors (Sekolah Menengah Hougang)

Kategori korporat:
Pertama: SCDF
Kedua: CnW Services
Ketiga: Maybank
Keempat: M³@Pasir Ris-Punggol

Acara yang disokong Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) turut dihadiri para pemain bola sepak dulu dan kini, Baihakki Khaizan dan Ilhan Fandi untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Para pemenang kategori bawah 14 tahun dan 16 tahun masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak S$500, S$300 dan S$200 di samping pingat dan bola sepak yang ditandatangani Baihakki Khaizan dan Ilhan Fandi.

Link: https://www.mha.gov.sg/mediaroom/speeches/dadah-itu-haram-breaking-of-fast-session-at-muhammadiyah-welfare-home-opening-remarks-by-assoc-prof-muhammad-faishal-ibrahim-minister-of-state-ministry-of-home-affairs-ministry-of-national-development/

Link: https://www.linkedin.com/posts/cwservicessg_our-team-rocked-the-2023-muhammadiyah-welfare-activity-7041593425724379137-JUlV/